30 November 2021

Tips - 10 Risiko Jual atau Beli Kereta sambung Bayar








Nak Beli @ Jual Kereta Sambung Bayar? Nah, Ini 10 Risiko yang Bakal Anda Hadapi


RISIKO KEPADA PENJUAL
1. TERBABIT KES JENAYAH
Jika pihak ketiga menyalahgunakan kenderaan anda untuk kegiatan jenayah, pemilik kenderaan asal, iaitu anda akan menanggung segala risiko. Salah langkah boleh menyebabkan anda selaku pemilik asal, didakwa.


2. DAPAT SAMAN
Tahukah anda segala saman atau kompaun yang dikenakan terhadap kenderaan anda akan memberi kesan kepada pemilik kereta dan bukannya pihak ketiga yang membelinya?


3. PEMBELI TIDAK BAYAR ANSURAN
Anda harus ingat, kebanyakan mereka yang membeli kereta sambung bayar kebiasaannya memiliki rekod buruk seperti nama disenarai hitam, ada masalah kewangan dan sebagainya. Jadi mereka berisiko untuk tidak bayar ansuran. Akibatnya, anda terpaksa tanggung hutang. Padan muka!


4. JUAL ATAS JUAL
Tahukah anda ada sesetengah kes melibatkan jualan atas jualan? Andaikan anda jual kenderaan secara sambung bayar kepada Ali. Dua bulan kemudian, Ali jual semula kenderaan tersebut secara sambung bayar kepada Abu dengan mengaut keuntungan atas angin.


Akibatnya, anda tidak tahu siapa pemilik ketiga berkenaan. Bagaimana jika bayaran bulanan tidak dibuat kepada pihak bank? Siapa yang perlu anda tuntut?


RISIKO KEPADA PEMBELI
5. PEMILIK KENDERAAN MATI
Jika pemilik kenderaan meninggal dunia, pihak waris berhak meminta anda mengembalikan kenderaan walaupun ada perjanjian. Waris tidak peduli siapa anda.


6. TIDAK DAPAT TUKAR NAMA
Anda sudah habis langsai ansuran, apakah anda yakin nama pemilik akan bertukar? Bagaimana jika pemilik kenderaan asal mahu ambil kembali kereta dia? Mahu larikan kereta?Mahu tidak mahu anda perlu serahkan kembali kenderaan itu.


7. KERETA TIDAK BOLEH JUAL KEPADA ORANG LAIN
Selagi nama pemilik tidak bertukar, anda tidak boleh jual kereta itu kepada orang lain walaupun hutang sudah langsai. Proses pertukaran hak milik memerlukan pemeriksaan kereta di PUSPAKOM sebelum menukar nama di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Untuk proses pertukaran nama, pemilik asal perlu hadir ke JPJ. Bagaimana jika pemilik asal sudah meninggal dunia? Jawapannya, gunalah kereta itu sampai akhir hayat. Itupun jika tiada mana-mana waris datang tuntut.


8. TIADA TUNTUTAN INSURANS
Apabila berlaku kemalangan total lost, kos ganti rugi akan diberikan terus kepada pemilik kenderaan. Apakah anda yang bayar ansuran setiap bulan akan menerima pampasan itu. Jawapannya, TIDAK MUNGKIN! Penat-penat bayar setiap bulan, akhirnya satu sen pun tak dapat.


9. RISIKO DITUDUH KERETA CURI
Ada juga kemungkinan anda disyaki pencuri jika pemilik kenderaan buat laporan polis yang menyatakan kereta dia dicuri. Anda tunjukkan surat perjanjian kononnya sudah ditandatangani. Malangnya, itu bukan tandatangan sebenar pemilik asal. Dia menipu tandatangan! Akhirnya, anda dijemput ke tirai besi sambil dijamukan masak lemak cili api (kalau ada).


10. INGAT, SURAT PERJANJIAN TIDAK LAKU
Walaupun ada perjanjian antara anda dan pemilik kenderaan asal, ia tetap tidak laku. Pemilik asal memiliki kuasa mutlak ke atas kenderaannya. Bila-bila masa dia boleh minta balik kenderaannya dan anda perlu serah semula.


kredit-PanduLaju


Tiada ulasan: