Tukar Warna Kereta? Bagaimanakah Cara Daftar JPJ?
Proses pendaftaran cukup mudah dan tidak dikenakan bayaran. Apa perlu dilakukan adalah ikut langkah-langkah berikut:
Tukar warna cat kenderaan terlebih dahulu.
Selesai menukar warna cat, isi Borang K8 (foto atas kiri) dan serahkan kepada JPJ.
Pemakluman perlu dibuat dalam tempoh tujuh [7] hari selepas kenderaan ditukar warna baharu.
Jika mengecat lebih satu warna, mesti mendaftar warna paling banyak atau dominan (biasanya 60 peratus ke atas) sebagai warna utama.
Perlu kemukakan geran asal atau VOC, dan kad pengenalan bagi tujuan pengesahan pemilikan kenderaan.
Maklumat akan dikemas kini dalam sistem MySikap, iaitu portal pendaftaran untuk semua kenderaan Malaysia.
Jika menukar warna kenderaan secara wrap (dibalut dengan pelekat khas), proses sama juga perlu dibuat seperti menukar cat kereta.
PERHATIAN: Sepanjang tempoh berkurung PKP 3.0, semua urusan mendaftar warna baharu kenderaan ditangguhkan. Boleh hubungi JPJ melalui saluran rasmi jika ada persoalan mengenai serahan borang K8.
KENAPA PERLU MAKLUM, DAFTAR KEPADA JPJ?
Penting supaya jika berlaku insiden tidak diingini seperti kemalangan, jenayah atau sebagainya, warna kenderaan yang didaftarkan boleh dijadikan rujukan.
Mengikut Seksyen (12) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemilik yang menukar warna kereta akan diberikan Notis Arah Periksa atau PG1 supaya isytihar kepada JPJ. Saman akan diberikan jika gagal patuh.
Situasi itu berlaku jika pemilik ditahan di sekatan jalan raya (SJR) dan anggota mendapati warna kereta yang didaftarkan berbeza dengan warna terkini. Di sinilah pemilik akan diberikan surat arahan untuk hadir pemeriksaan kenderaan dan isytihar perubahan warna serta menjalani proses semakan lanjut.
Jika gagal hadir, barulah pemilik disaman kerana ingkar Notis Arah Periksa, dan bukan saman tukar warna kenderaan.
Selain JPJ, polis juga boleh mengeluarkan saman jika kereta anda berbeza warna dengan rekod dalam sistem JPJ, iaitu kesalahan menukar warna cat kenderaan tanpa kebenaran.
JPJ MENYUSAHKAN ATAU MEMBANTU?
Ramai pemilik menganggap syarat wajib daftar selepas menukar warna kenderaan sebagai menyusahkan, terutama kepada peminat dan kaki kereta. Faktanya, anda sebenarnya berdepan kerugian dan masalah besar jika hal warna kereta itu tidak didaftarkan.
Contohnya, jika kereta terlibat kemalangan dan penilai insurans mendapati warna kereta tidak sama seperti tertera dalam polisi insurans atau rekod pendaftaran, ia boleh dipertikaikan. Malah, pihak insurans boleh saja enggan membayar pampasan kerugian kerana berlaku percanggahan dan kekeliruan maklumat dan mengelirukan.
Jika berlaku, siapa yang rugi? Jangan lupa, proses hendak mendapatkan duit insurans bukan mudah atau sekelip mata. Pernah dengar orang cakap, bayar cepat, dapat lambat?
kredit-PanduLaju
Tiada ulasan:
Catat Ulasan