Suprima S yang dilancarkan Sabtu lalu ternyata menjadi perbualan hangat banyak pihak. Ada yang memuji, ada yang mengkritik, ada yang membuat perbandingan dengan model lain dan pelbagai lagi reaksi diterima. Persoalannya, berbaloikah sekiranya anda membeli Proton Suprima S?
Model terbaru Proton ini termasuk di dalam segmen C. Di dalam ruangan komen artikel sebelum ini, ramai yang membuat perbandingan dengan Toyota Vios 2013 serba baharu yang merupakan kereta segmen B. Walaupun berbeza segmen, tidak salah rasanya membuat perbandingan antara dua kereta ini kerana harganya yang berada di dalam lingkungan serupa. Mari kita bandingkan.
Suprima S:-
- Proton Suprima S 1.6 Executive (metallic) RM76,688
- Proton Suprima S 1.6 Executive (solid) RM76,338
- Proton Suprima S 1.6 Premium (metallic) RM79,988
- Proton Suprima S 1.6 Premium (solid) RM79,638
- Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo – RM93,200.00
- Toyota Vios 1.5 G – RM88,500
- Toyota Vios 1.5 E – RM82,900
- Toyota Vios 1.5 J (Automatik) – RM77,300
- Toyota Vios 1.5 J (Manual) – RM73,200
Kesimpulan - Proton Suprima S memenangi kategori ini walaupun varian Vios J adalah lebih murah. Perlu diingatkan gear Vios J adalah manual dan varian automatik Vios hanya bermula pada harga yang lebih tinggi berbanding Suprima. Sudah tentu pilihan gear automatik menjadi pilihan terutamanya kepada pembeli yang kebanyakannya membuat pemanduan di dalam kota. Malah dengan hanya perbezaan RM3,000 sahaja berbanding varian asas, pembeli Suprima S sudah boleh mendapatkan varian yang paling hebat iaitu Premium.
2. REKAAN LUARAN
Suprima S – secara mudah, model ini sebenarnya adalah Proton Preve versi hatchback. Daripada komen yang diterima, ramai yang kurang berpuas hati dengan rekabentuk belakang Suprima S. Lampu bahagian belakang tidak cukup menggoda pada pandangan kami. Namun bahagian depan Suprima S memang tidak dinafikan mempunyai ciri-ciri yang mampu menarik perhatian.
Toyota Vios 2013 - masih mengekalkan rekaan “dugong”, itulah antara komen yang kami terima. Secara jujur nampak seperti tiada kajian mendalam yang dilakukan oleh Toyota untuk model terbarunya ini. Kemungkinan besar ini adalah kerana keyakinan Toyota untuk menjual produknya kepada rakyat Malaysia. Lampu belakang Vios juga dilihat kurang menarik dan tidak mengikuti perkembangan seperti model-model kereta daripada Korea.
Kesimpulan – Oleh kerana rekaan luaran adalah satu perkara subjektif, kami tidak dapat memberi kelebihan kepada salah satu model ini. Mungkin di mata kami nampak hodoh, tetapi di mata anda nampak cantik. Apa pun, jika kami disuruh membuat pilihan daripada segi luaran sahaja, kami akan memilih Toyota Vios 2013.
3. REKAAN DALAMAN
Suprima S - secara jujur, rekaan dalaman model ini nampak tidak begitu menarik. Sekali pandang, nampak terlalu kosong. Namun begitu, ciri-ciri seperti GPS dikuasakan Android, wifi, 7 inci LCD untuk pemain DVD dan 4-6 speaker berdasarkan model, memang terserlah kecanggihan yang ditawarkan.
Toyota Vios 2013 - lebih kemas dan menarik jika dibandingkan dengan Suprima S. Turut ditawarkan skrin sesentuh 5.8 inci secara pilihan, Bluetooth, kamera undur belakang dan pemain DVD.
Kesimpulan - daripada segi susun atur, ia dimenangi oleh Vios. Namun daripada segi nilai untuk wang, Suprima S memenanginya. Tiada bayaran tambahan atau caj dikenakan untuk mendapatkan rekaan dalam premium Suprima S jika dibandingkan dengan Vios.
4. KESELAMATAN
Suprima S - enam beg udara, tingkap kuasa anti-perangkap, Sistem Anti Kekunci Membrek (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta bagi model premium disertakan Park Assist dan kamera undur.
Toyota Vios 2013 - dua beg udara, Sistem Anti Kekunci Membrek (ABS) dengan EBS.
Kesimpulan - dimenangi sepenuhnya oleh Suprima S yang mendapat 5 bintang di dalam ujian keselamatan ANCAP.
5. ENJIN
Suprima S - 1.6 liter dengan ProTonic Continuous Variable Transmission (CVT), tujuh kelajuan automatik yang menawarkan kuasa maksimum 140 PS pada 5,000 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 205 Newton meter (Nm) pada 2,000 hingga 4,000 rpm, berkuasa sama seperti enjin 2.0 liter lain.
Toyota Vios 2013 - njin 1NZ-FE 1.5 liter dengan kuasa 109ps bersama-sama tork maksimum 141Nm. Sistem transmisinya juga masih mengekalkan kotak gear automatik empat kelajuan, termasuk versi manual lima kelajuan.
Kesimpulan - kekecewaan pada Vios 2013 kerana tidak menggunakan enjin baru sebaliknya hanya guna semula enjin yang digunapakai di dalam model Vios sebelum ini. Kategori ini dimenangi oleh Suprima S.
6. PEMANDUAN
Suprima S - pihak promosi menyatakan pengalaman pemanduan adalah sama dengan memandu kereta Volkswagen. Namun kami masih di dalam proses untuk memandunya sendiri. Nantikan ulasan daripada kami.
Toyota Vios 2013 – umum mengetahui bahawa pemanduan kereta Toyota tidak pernah mengecewakan. Namun sehingga kami dapat memandu ujinya sendiri, tiada ulasan dapat diberikan.
Kesimpulan - tunggu ulasan pandu uji daripada kami.
7. NILAI JUAL BALIK
Suprima S - nilai jual balik model Proton tidaklah sehebat kereta-kereta syarikat Jepun. Namun ia masih mengatasi model syarikat Korea. Boleh dikatakan nilai jual balik Suprima S akan berada di tengah-tengah. Namun ia turut sama bergantung kepada jualan semasa dan permintaan ketika itu.
Toyota Vios 2013 - pastinya nilai jual balik Vios 2013 akan lebih tinggi daripada Suprima S. Entah mengapa rakyat Malaysia begitu sinonim dan gembira untuk membeli kereta Toyota walaupun spesifikasi yang diberikan agak tidak memuaskan hati. Mungkin kerana pengalaman pemanduan dan sejarahnya tersendiri.
Kesimpulan - Toyota Vios 2013 memenangi kategori ini.
8. KESELURUHAN
Jika ditanya pada kami, antara Toyota Vios 2013 dan Suprima S, memang agak sukar untuk membuat pilihan. Kemungkinan besar kami akan memilih Suprima S kerana tawaran jaminan 5 tahun atau 150,000 kilometer. Kami tidak pasti dengan tawaran yang bakal datang dengan Vios 2013, namun kami yakin ia tidak mampu menandingi tawaran Proton. Apa kata anda?
1 ulasan:
guano curi hok ore nih
Catat Ulasan