25 Ogos 2014

Proton Baharu menggunakan kod PCC





Ketua Pegawai Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa, melalui kenyataannya yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian hari ini mengesahkan Proton akan melancarkan model kompak pertamanya yang menggunakan kod nama PCC dalam masa terdekat ini.
Berada di dalam segmen B, PCC atau Proton Compact Car ini diproduksi dengan dua penekanan utama iaitu aspek keselamatan terbaik dan bahan api yang efisien serta ditawarkan pada harga mampu milik. 


Dibangunkan menerusi platform terkini Proton, model ini tampil dengan dua enjin terbaharu VVT iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter yang dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api sebanyak 10 peratus berbanding dengan enjin Campro. Malah enjin VVT ini juga bakal digunakan untuk model baharu Proton yang akan datang bagi menggantikan Campro. 



Enjin PCC ini juga dikatakan mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 110hp dan tork 148Nm dan berupaya mencecah kelajuan maksimum sehingga 180km/j.
Ia juga bakal didatangkan dengan tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium serta menampilkan dua pilihan transmisi iaitu manual dan automatik.
Bukan itu sahaja, PCC juga menggunakan injap, blok dan omboh baharu, pertama kali seumpamanya bagi model Proton. Secara tidak langsung menggambarkan ia sebagai model terbaik Proton buat setakat ini. 

Model ini juga turut dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EPS dan Hill Hold Asist, malah ia juga menerima pengiktirafan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) dan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP).




Rashid juga menegaskan model ini bukanlah sebagai pengganti pada model Savvy yang telah ditamatkan pengeluarannya. Sebaliknya PCC merupakan model serba baharu di dalam keluarga Proton.

Bakal ditawarkan dalam tujuh pilihan warna, harga dan spesifikasi lengkap model ini akan diumumkan pada hari pelancarannya kelak. Malah nama yang kedengaran bakal dipilih sama ada Iriz atau Airiz juga akan disahkan pada hari pelancarannya.

Tiada ulasan: